KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi berkongsi maklumat dan perkembangan terkini bola sepak tempatan.
Pertemuan itu diadakan di Parlimen dan FAM yang diketuai presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin turut mengambil peluang menjelaskan kepada Perdana Menteri berkaitan usaha menstabilkan semula industri bola sepak yang masih terkesan dengan impak Covid-19.
“Kami membentangkan dengan terperinci mengenai kalendar dan pengurusan terkini pasukan kebangsaan, pertandingan domestik dan antarabangsa serta program pembangunan teknikal dengan matlamat memperkasakan lagi pasukan kebangsaan termasuk bawah 22 tahun, bola sepak wanita, belia, bola sepak pantai dan futsal.
“Turut dibincangkan ialah perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya yang diilhamkan oleh Seri Paduka Baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014,” kata Hamidin.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi, Datuk S. Sivasundaram; Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar.
Dalam masa sama, Hamidin juga memohon pandangan Perdana Menteri mengenai usaha membangunkan tanah hak milik FAM bagi tujuan pembangunan bola sepak Malaysia dari peringkat akar umbi sehinggalah ke pentas antarabangsa.
“Kami di FAM yakin Datuk Seri Ismail Sabri adalah seorang pemimpin yang arif dan mampu memahami situasi semasa industri bola sepak negara memandangkan beliau pernah memimpin Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2008-2009.
“Justeru, pandangan Datuk Seri Ismail Sabri penting buat FAM terutama dalam melaksanakan perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara,” katanya. – K! ONLINE