REMBAU – Hasrat empat lelaki untuk menyelamatkan seekor kambing betina yang dibelit ular sawa tidak berhasil apabila haiwan berkenaan mati dalam kejadian di sebuah kebun Kampung Mayon, Chengkau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, penduduk, Mohd. Hafizie Mohd., 28, terdengar bunyi kambing mengembek tidak seperti biasa dalam tali air yang terdapat di kebun berkenaan.
Menurutnya, dia baharu sahaja membersihkan kandang kambing di kebun berdekatan dan bergegas mencari lokasi dari mana datangnya bunyi berkenaan.
“Rupa-rupanya ada ular sawa sedang membelit seekor kambing. Masa tu kambing boleh mengembek lagi. Saya hubungi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lada, Mohamad Shamsuri Musa yang tinggal berdekatan bagi meminta bantuan.
“Beberapa minit selepas itu, pengerusi MPKK datang dengan dua penduduk bagi membantu menyelamatkan kambing yang dibelit berusia dua tahun lebih itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, tadi.
Sementara itu, Mohamad Shamsuri berkata, kejadian binatang ternakan menjadi mangsa ular sawa di kampung berkenaan merupakan kejadian ketiga pada tahun ini, namun kali ini ular sawa berkenaan agak besar.
Menurutnya, ular seberat lebih 50 kilogram dan sepanjang hampir empat meter itu juga hampir membelit salah seorang dari penduduk yang membantu.
“Bagaimanapun, dalam kejadian ini kambing tak sempat diselamatkan. Berkemungkinan, ular sawa muncul di sini kerana terdapatnya kawasan berpaya menjadikan ia antara habitat yang disukai reptilia berkenaan. – K! ONLINE