GOMBAK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun lima bulan berdepan detik mencemaskan apabila kepalanya tersangkut hampir 40 minit pada pintu jeriji besi ketika sedang leka bermain di sebuah rumah di Taman Berlian, Batu Caves di sini hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.05 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi bagi membantu melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Seramai tujuh anggota bomba dan dua petugas perubatan tiba di lokasi kira-kira 13 minit kemudian dan mendapati seorang kanak-kanak lelaki tersepit di pintu hadapan rumah berkenaan.
“Anggota bertugas kemudiannya telah menggunakan ‘bolt cutter’ untuk memotong pintu jeriji besi tersebut bagi mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit,” katanya.
Difahamkan, kejadian berlaku di rumah jiran keluarga kanak-kanak tersebut yang berperanan sebagai penjaga ketika ibu bapanya keluar bekerja.
Jiran mangsa, Mohamad Azrul Nordin, 24, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas ketika kanak-kanak tersebut sedang bermain.
“Ketika kejadian saya sedang menonton televisyen di ruang tamu dan tiba-tiba terdengar jeritan sebelum melihat kepala kanak-kanak itu tersangkut pada pintu.
“Saya dan bapa kemudiannya cuba membantu namun setelah hampir 30 minit kami membuat keputusan untuk menghubungi pihak bomba,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Mohamad Azrul, pihak bomba yang tiba tidak lama kemudian tidak mengambil masa yang lama untuk memotong pintu jeriji besi itu dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Syukur tiada sebarang kecederaan yang dialami dan kanak-kanak itu kini selamat cuma waktu kejadian sahaja menangis kerana ketakutan,” ujarnya. – K! ONLINE