fbpx

OKU tidak tidur malam selamatkan jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN MOHAMMAD ZAIDI WAN ISA (empat dari kiri) meninjau kawasan kebakaran di Kampung Batu Satu di Temerloh hari ini.

TEMERLOH – Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah tidur pada waktu malam menjadi penyelamat dalam kejadian kebakaran melibatkan empat buah rumah kedai dan sebuah rumah di Kampung Batu Satu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu Norwati Mohamad,49, yang tinggal seorang diri di sebuah rumah bertindak menyelamatkan jiran dengan mengetuk pintu rumah jiran bagi memberitahu kejadian kebakaran yang berlaku.

“Semasa kejadian saya berada di rumah dan apabila melihat luar rumah saya nampak api marak di sebuah kedai menyebabkan saya keluar dan mengetuk pintu rumah jiran minta mereka menghubungi bomba.

“Semasa kejadian api memang marak begitu cepat dan saya bersyukur kerana semua jiran dapat menyelamatkan diri serta tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zalehar Mohamad,57, berkata, kejadian yang berlaku sepantas kilat menyebabkan dia yang tinggal bersama adik dan juga anak saudaranya tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, semasa kejadian dia sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan apabila pintu rumah diketuk oleh dengan begitu kuat.

“Apabila buka pintu saya nampak Wati dan dia beritahu ada kebakaran sebelum saya nampak api sudah marak dan bergegas bersama keluarga mengambil kad pengenalan dan membawa keluar kereta.

“Api begitu cepat marak menyebabkan saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang berharga dan kini hanya tinggal sehelai sepinggang selain pakaian yang diberikan jiran-jiran,” katanya.

Menurutnya meskipun kehilangan rumah dan kedai yang diwarisinya sejak lebih 100 tahun dahulu amat terasa namun dia bersyukur semua ahli keluarganya berada dalam keadaan selamat.

Katanya, pada masa ini dia menumpang sementara di sebuah rumah kosong di kampung berkenaan yang diuruskan Jawatankuasa Kemakmuran dan Keselamatan Kampung.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ir. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kejadian kebakaran tersebut menyebabkan empat unit rumah kedai dan sebuah rumah yang dibina daripada kayu musnah hampir seratus peratus.

Bagaimanapun katanya tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

“Bomba menerima panggilan pada pukul 4.17 pagi dan empat jentera bersama 28 anggota tiba pada pukul 4.27 pagi sebelum kebakaran dapat dikawal pada pukul 5.10 pagi,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI