PETALING JAYA – Amaran hujan lebat serta ribut petir dikeluarkan melibatkan keseluruhan negeri di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak yang dijangka berlaku sehingga pukul 6 petang hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam laporannya berkata, amaran cuaca tidak menentu itu merangkumi keseluruhan kawasan di Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, dan WP Putrajaya.
“Di Kedah melibatkan kawasan Kubang Pasu, Padang Terap, Kuala Muda, Sik dan Baling manakala di Perak, kawasan yang dijangka terlibat ialah Larut Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
“Di Kelantan, kawasan terlibat ialah Kuala Krai dan Gua Musang serta di Terengganu melibatkan kawasan Besut, Setiu dan Hulu Terengganu,” katanya di sini hari ini.
Tambah MetMalaysia, cuaca tidak menentu itu, turut diramal berlaku di Pahang melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Bentong, Kuantan, Bera dan Rompin manakala di Negeri sembilan melibatkan kawasan Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin.
Selain itu, keadaan yang sama akan berlaku di Melaka melibatkan kawasan Alor Gajah dan Jasin serta di Johor kawasan yang terlibat ialah Segamat dan Johor Bahru.
Sementara itu, hampir kesemua kawasan di Sarawak bakal mengalami hujan lebat dan ribut petir termasuklah Betong (Betong), Sarikei (Sarikei dan Meradong), Mukah (Tanjung Manis), Kapit, Bintulu dan Miri dan Limbang.
“Amaran yang sama turut melibatkan kawasan Pendalaman (Beaufort), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat) di Sabah.
“Orang awam diingatkan untuk kekal berada di rumah serta elakkan berada di kawasan laut dan persisir pantai,” ujarnya. – K! ONLINE