PETALING JAYA – Datuk Seri Siti Nurhaliza meminta orang ramai tidak terpedaya dengan taktik pihak tertentu yang mewujudkan lagi akaun laman sosial palsu menggunakan namanya.
Kata penyanyi itu, pihaknya menerima banyak pertanyaan mengenai akaun @sitinurhaliza_officialfanpage yang turut menyalahgunakan gambarnya sebagai profil.
“Semakin hari semakin banyak akaun yang dibuat tidak kira di Instagram atau Facebook yang menggunakan nama dan gambar saya.
“Saya dan syarikat pengurusan menerima pertanyaan orang ramai yang dijemput ‘follow’ atau mengikuti akaun tersebut.
“Saya harap semua pengguna laman sosial berhati-hati kerana banyak cara digunakan pihak tertentu untuk memperdayakan orang ramai,” katanya menerusi Instagram.
Pada masa sama, sekali lagi Siti turut menegaskan akaun @sitinurhaliza_officialfanpage tidak mewakili dan tiada kena mengena dengan dirinya atau syarikat miliknya.
Pada Februari lalu penghibur tersebut pernah meminta peminat tidak terpedaya dengan penipuan menggunakan video dan imejnya yang menawarkan ganjaran lumayan.
Ini disebabkan semakin banyak akaun palsu dibuka individu yang mahu mengaut keuntungan dengan cara menipu dalam talian. – K! ONLINE