JOHOR BAHRU – Seorang lagi pemimpin MCA Johor turut menerima ugutan oleh dalang sebenar di sebalik ugutan terhadap Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon baru-baru ini.
Ketua Biro Aduan Awam Pasir Gudang, Lim Thow Siang berkata, dalang sebenar di sebalik ugutan berkenaan adalah seorang lelaki warga Singapura yang dikenali dengan nama panggilan ‘Sky’.
Katanya, dia telah berurusan dengan lelaki yang dianggarkan berusia 30-an itu sejak lebih setahun lalu, namun hanya menerima ugutan itu, baru-baru ini.
“Lelaki itu membuat ugutan meminta kami tidak lagi menguruskan mangsa-mangsa yang menjadi sasaran mereka.
“Dia membuat ugutan melalui panggilan suara dan memberitahu akan membakar rumah kediaman saya sambil memaklumkan alamat kediaman peribadi saya di sini,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat biro berkenaan di sini hari ini.
Thow Siang memberitahu, sejak Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu, pihaknya telah menerima lebih 50 aduan mangsa ah long yang mana 80 peratus daripadanya membantu sindiket ceti haram dari Singapura itu.
“Berdasarkan siasatan kami, sindiket ah long Singapura itu menyasarkan rakyat Malaysia yang berada di republik itu khususnya atas tujuan kerja.
“Modus operandi mereka dengan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa, namun apabila mangsa ingin memulangkan wang berkenaan, sindiket terbabit meminta dua kali ganda daripada jumlah asal.
“Apabila mangsa enggan membayar jumlah wang yang diminta, mereka akan mengugut ahli keluarga yang berada di negara ini melalui panggilan telefon dan juga balingan cat pada tengah malam,” ujarnya.
Thow Siang turut menambah, pihaknya akan terus membantu mangsa-mangsa yang menjadi sasaran sindiket ah long walaupun berdepan ugutan pihak-pihak tertentu.
Terdahulu, orang upahan ‘Sky’ yang membuat ugutan terhadap Jian Boon, iaitu Teng Chee Sing, 34, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai kerana kesalahan berkenaan.-K! ONLINE