JOHOR BAHRU – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dianugerahkan sebagai salah seorang penerima anugerah Akademi Saintis Dunia (TWAS) dalam kategori Sains dan Kejuruteraan.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, pencapaian itu diumumkan dalam Persidangan Agung TWAS ke-15 yang diadakan secara dalam talian pada 1 November lalu.
“Anugerah TWAS dianugerahkan kepada saintis dari negara membangun sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang mereka kepada pengetahuan saintifik dalam pelbagai bidang.
“Antara bidang berkenaan adalah Sains Pertanian, Biologi, Kimia, Bumi, Astronomi dan Sains Angkasa, Sains Kejuruteraan, Matematik, Sains Perubatan, Fizik, Sains Sosial serta aplikasi sains dan teknologi untuk pembangunan mampan,” jelas kenyataan itu.
UTM turut memberitahu, anugerah berkenaan disampaikan bagi menghargai pencapaian cemerlang Ahmad Fauzi dalam bidang teknologi membran dan nanoteknologi bagi digunakan dalam sektor perawatan air kumbahan serta pengasingan gas dan hemodialisis.
“Pencalonan untuk beliau menerima anugerah itu dibuat oleh Prof. Emeritus Dr. Tekashi Matsuura dari Universiti Ottawa, Kanada.
“Antara kriteria ditetapkan bagi penerimaan anugerah ini adalah penerima mestilah tinggal dan bekerja di negara membangun sekurang-kurangnya 10 tahun secara berturutan sebelum mereka dicalonkan,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, pencapaian berprestij itu selaras dengan misi UTM untuk berada di barisan hadapan sebagai penyedia teknologi inovatif melalui penyelidikan berimpak tinggi di samping membuktikan komitmen dalam menjayakan agenda Matlamat Pembangunan Mampan. – K! ONLINE