PETALING JAYA – Tindakan seorang murid perempuan melintas jalan ketika keadaan jalan raya sedang ‘sibuk’ mengundang pelbagai reaksi pengguna di laman sosial.
Aksi murid terbabit yang dirakam melalui kamera papan pemuka sebuah kereta itu memaparkan dia sedang berlari melintasi jalan dipercayai selepas keluar dari sekolahnya.
Lebih mengerikan, murid terbabit tidak menoleh ke kiri dan kanan jalan sebelum melintas dan kelihatan hanya berlari di celah-celah kenderaan yang sedang bergerak.
Namun, nasib kanak-kanak itu agak baik kerana dia tidak dilanggar meskipun keadaan jalan ketika itu agak sesak.
Difahamkan kejadian tersebut dirakam dihadapan sebuah sekolah di sekitar negeri Terengganu, namun lokasi tepat dan tarikh kejadian tidak dapat dipastikan.
Susulan perkongsian tersebut, kejadian itu telah mengingatkan pengguna laman sosial tentang kejadian yang telah menimpa seorang murid perempuan di Sepang beberapa hari lalu yang meninggal dunia akibat di langgar sebuah van di hadapan sekolahnya.
“Teringat video arwah budak kena gilis van tu, janganlah kejadian seperti ini berulang, sedih dan ngeri,” tulis Il Ham di ruangan komen.
Turut meninggalkan komen adalah seoramg lagi pengguna dikenali sebagai Luqman N. Zalikha.
“Trauma kes arwah adik yang berusia 7 tahun kena langgar van itu tak habis lagi awak pula main melintas macam tu, seriau tengok,” katanya.
Pada masa sama, pengguna turut mengecam tindakan sesetengah ibu bapa yang suka membiarkan anak-anak melintas jalan sendiri tanpa pengawasan orang dewasa.
“Ibu bapa pun satu, turun kereta pun tak, nak duk dalam aircond kereta, anaklah yang berlari kat kereta, aku perhati je masa ambil anak sekolah.
“Jika apa-apa berlaku mula la salahkan ‘security’ la,sekolah la, tapi salah dia tak sedar,” tulis Exus Art di ruangan komen. – K! ONLINE