PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan bahawa permohonan undi pos secara online bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 telah dibuka bermula 8 November lalu dan akan berakhir 24 November depan.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan undi pos tersebut adalah untuk pengundi kategori Borang 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan dan Kesihatan) sahaja.
“Manakala permohonan untuk undi pos kategori Borang 1A (petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media) akan dimaklum kelak.
“Permohonan hendaklah dibuat secara online melalui laman sesawang MySPR Daftar di pautan berikut https://mysprdaftar.spr.gov.my/ atau di portal rasmi SPR iaitu https://www.spr.gov.my/,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ikmalrudin berkata, pemohon dinasihatkan agar membuat permohonan lebih awal bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.
“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Unit Pengurusan Undi Pos (UPUP) di talian 03-8892 7080 atau emel kepada [email protected],” katanya. – K! ONLINE