fbpx

Pesakit tak vaksin, komorbid ramai masuk wad hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dalam tempoh tujuh hari kebelakangan ini terdiri da­ripada mereka yang belum me­nerima suntikan vaksin dan belum lengkap divaksin.

Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, selain itu, individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin dan mempunyai komorbid turut menyumbang kepada pe­ningkatan bilangan tersebut.

“Walaupun Malaysia telah mencapai lebih 90 peratus kadar vaksinasi penduduknya, namun masih ada yang belum mengambil vaksin terutamanya golongan kanak-kanak bawah 12 tahun.

“Golongan ini terdedah kepada persekitaran yang tidak sihat termasuk dijangkiti Covid-19. Selain itu, ada juga pesakit yang lengkap divaksin tetapi mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung menyebabkan mereka cende­rung untuk dijangkiti,” katanya

Dr. Sharifa memberitahu, secara keseluruhannya, mereka yang dirawat di hospital adalah terkawal dan berada dalam kate­gori satu serta dua.

Tambah beliau, tahap imuniti penerima vaksin akan berkurang antara tiga hingga enam bulan dos kedua dan pengambilan dos penggalak amat digalakkan kera­na mampu meningkatkan keberkesanan sehingga 95 peratus.

Menurut data laman web Co­vidNow, secara keseluruhannya, kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di negara ini meningkat tujuh peratus dan orang ramai perlu lebih peka dengan pematuhan prosedur operasi standard dan mengikuti saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, kenyataan sama turut disokong Pakar Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani yang memberitahu, dos penggalak sangat penting dan perlu dihebahkan secara meluas kepada masyarakat mengenai kepen­tingan serta manfaatnya.

Menurut data yang dikongsikan oleh KKM, keberkesanan penerima vaksin dos penggalak jenis Pfizer meningkat daripada 54 peratus kepada 95 peratus melebihi keberkesanan dos penggalak AstraZeneca dan Sinovac.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI