fbpx

Sasar 5,000 pelancong antarabangsa hingga Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN pelancong yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi semalam.

LANGKAWI – Kira-kira 5,000 pelancong asing dijangka memasuki Pulau Langkawi sehingga hujung tahun ini susulan gelembung pelancongan antarabangsa bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pihaknya me­nyasarkan purata 150 pelancong antarabangsa masuk ke pulau peranginan itu sehari.

“Sasaran 5,000 pelancong a­sing sehingga hujung tahun ini adalah sasaran yang realistik dan berdasarkan angka itu, perbelanjaan yang dapat dijana adalah sekitar RM24.5 juta,” katanya di sini semalam.

Beliau menambah, pelancong luar negara yang memasuki pulau peranginan berkenaan tertakluk pada prosedur operasi standard ditetapkan (SOP) dengan me­lakukan saringan Co­vid-19.

“Pelancong yang menggunakan penerbangan terus ke Langkawi perlu menjalani ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebaik tiba di pulau ini dan sebelum pulang ke negara asal.

“Bagi yang transit melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka perlu melakukannya sebelum menaiki pesawat domestik,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya penerbangan antarabangsa tiba pada waktu malam, pelancong dibenarkan untuk mendaftar masuk ke hotel terlebih dahulu dan melakukan ujian saringan pada keesokan pagi.

“Sekiranya mereka sampai antara pagi hingga petang, pelancong ada dua pilihan sama ada mereka daftar masuk ke hotel dan buat saringan di situ atau terus ke makmal swasta secara pandu lalu,” ujarnya.

Kata Nasaruddin, pelancong yang positif Covid-19 kategori 1 dan 2 dibenarkan menjalani kuarantin di 118 buah bilik daripada 20 hotel yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.

“Hotel berkenaan dilengkapi sistem pendingin hawa dingin yang tidak berkongsi dengan bilik-bilik lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nasaruddin menambah, tiada penerbangan terus daripada negara luar pada dua minggu pertama pelaksana­an gelembung pelancongan antarabangsa tersebut.

Jelasnya, pelancong antarabangsa akan memasuki pulau ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini dengan penerbangan transit menerusi KLIA.

“LADA akan mengadakan satu perbincangan dalam masa terdekat dengan Qatar Airways dan AirAsia Berhad bagi membincangkan penerbangan terus ke Langkawi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI