PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor nampaknya belum mengendurkan rasa berang biarpun aksi suku akhir pertama antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berakhir tanpa jaringan kelmarin.
Isu bermula apabila Tunku Mahkota Johor memperkatakan tentang isu tunggakan gaji membabitkan pasukan KDA FC yang dilaporkan sudah tertunggak selama dua bulan.
Tunku Ismail menempelak pengurusan KDA yang didakwa tidak serius menguruskan kebajikan pemain setelah tunggakan itu diselesaikan apabila hendak berdepan JDT sebelum aksi tersebut bermula.
Sejurus tamat perlawanan tersebut, Muhammad Sanusi memuat naik beberapa hantaran menerusi laman Facebooknya untuk meluahkan kegembiraan apabila pasukannya berjaya menamatkan saingan tanpa kekalahan.
“Pemain No.1 dan yang ke-12 pasukan lawan,” kata Muhammad Sanusi merujuk gambar yang dimuat naik antara penjaga gol JDT, Farizal Marlias dan pengadil perlawanan, Razzlan Jofri Ali.
“Diet sakan pun tak leh menang jugakkk… tertomos pulak… adehhh!! Tahniah KDAFC… kita boh gol di Johor nanti…,” ulas Muhammad Sanusi lagi. Tidak berhenti di situ, Muhammad Sanusi memuat naik lagi hantaran baharu semalam yang berbentuk kiasan seolah-olah menyindir skuad Harimau Selatan.
“Nak main bola kena bersedia hadapi becak-licinnya padang, kerasnya pertahanan dan lincahnya bahagian serangan lawan. Padang bola bukan mahligai yang ada dayang-dayang.
“Nak lawan bola janganlah dok (nak) harap pasukan lawan nak tunduk segan-segan nak biaq (biar) hangpa gelecek lenggang lenggok nak pi score goal saja. Di padang bola kita adalah sama setara, seorang pengadil yang ada satu wisel (linesman kena ada laa).
“Kalau hang suka daih (bentes) betis orang, siap la betis nanti orang akan daih balik. Kalau masa hang daih orang hang blah (pergi) buat bodo saja, bila hang kena daih jangan pi teriak (menangis) rata suruh orang minta maaf dan kena kad kuning kad merah.
“Tu bukan lawan bola, tu skrip wayang gusti WWE untuk Shane McMohan kalahkan John Ceyna (Cena),” katanya yang dipetik daripada laman sosial Facebook, Muhammad Sanusi Md Nor.
Terdahulu, Muhammad Sanusi seperti ‘panas hati’ selepas campur tangan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Helang Merah baru-baru ini.
Tunku Ismail mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Menteri Besar Kedah itu selain baginda menawarkan diri untuk menjadi pelatih kesihatan.
“Salam Datuk. Gaji dah bayar? Bagus. Kebajikan pemain atau rakyat harus kita jaga. ‘Well done’, jaga diri dan jaga kesihatan. Kalau nak diet call, saya ajar,” kata Tunku Ismail di laman sosial.