fbpx

Obses cantik makan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

KECANTIKAN sering kali dikaitkan dengan penampilan diri seseorang terutama merujuk kepada badan yang kurus dan berkulit cerah.

Persepsi itu seterusnya telah membuatkan segelintir masyarakat menjadi obses sehingga sanggup berhabis duit.

Lebih drastik apabila mereka sanggup mempertaruhkan kesihatan diri dengan mengamalkan minuman kurus untuk mendapatkan bentuk badan idaman selain mengambil suntikan vitamin C yang kononnya mampu mencerahkan kulit.

Sebahagian daripada mereka mengetahui produk seperti suntikan vitamin C serta bahan pemutih gluthatione dan asid tranexamic yang diambil diragui selain tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tidak dinafikan juga ramai yang tidak mengetahui bahawa produk suntikan tersebut berbahaya kepada kesihatan diri, namun tetap terpengaruh.

KKM dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, pihaknya menerusi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan produk kesihatan dan ubat-ubatan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada orang awam.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A Halim berkata, sejak 2019 hingga bulan ini, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima sebanyak 362 aduan daripada orang awam mengenai ubat kuat dan suntikan vitamin C.

“Berdasarkan pengesahan aduan, sebanyak 187 premis yang menjual suntikan vitamin C telah diserbu dengan nilai rampasan berjumlah RM278,202,” katanya.

Selain itu, sebanyak 19,862 iklan penjualan ubat tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C yang dijual dalam talian online telah diarah untuk diturunkan.

Di Malaysia, vitamin C tidak didaftarkan dalam bentuk suntikan oleh PBKD dengan penjualan produk berkenaan adalah me­langgar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang didapati bersalah atas kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat, pihak itu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff memberitahu, kebanyakan pengguna tidak tahu dan keliru berhubung suntikan vitamin C kerana terdapat pusat kecantikan menawarkan per­khidmatan tersebut.

“Pengguna terutama golongan wanita ini perlu sedar bahawa suntikan vitamin C ini tidak mendapat kelulusan KKM dan sangat berbahaya kepada kesihatan diri.

“Janganlah kerana mahu cantik, pengguna sanggup mempertaruhkan kesihatan diri dengan melalui jalan mudah secara suntikan yang kononnya mampu mencerahkan kulit dalam masa singkat,” katanya.

Pakar Perunding Dermatologi dan Estetik KPJ Perlis dan Klinik Pakar Kulit Wan, Dr. Wan Syameen Afira Wan Ahmad Kamal turut menasihatkan pengguna supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil suntikan vitamin C yang ditawarkan spa atau pusat kecantikan.

“Pengambilan suntikan vitamin C secara drip ini dikhuatiri memberi kesan kepada pelanggan dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang.

“Pengambilan dalam dos yang tinggi boleh mengakibatkan penyakit serius seperti batu karang dan masalah buah pinggang selain penyakit sindrom Stevens-Johnson disebabkan alahan teruk kepada ubat atau bahan tertentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI