ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengucapkan tahniah kepada pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kerana memberi saingan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman di sini malam semalam.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bangga dengan aksi yang ditunjukkan skuad Hijau Kuning walaupun sekadar seri 0-0 dengan JDT.
“Ternyata JDT bukan lawan yang calang-calang dan kita terpaksa mengakui kehebatannya.
“Kedah walaupun negeri miskin bertanding dengan pasukan kaya-raya tetapi pasukan kaya-raya tidak menang. Walaupun miskin tetapi semangat juang kita tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 yang diadakan secara dalam talian di sini hari ini.
Pada perlawanan malam semalam, KDA FC sekadar mencatatkan keputusan seri 0-0 ketika menentang JDT dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di laman sendiri di sini.-K! ONLINE