PUTRAJAYA – Sebanyak 904 pengembara yang tiba di negara ini dikesan positif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, jumlah itu daripada
106,793 pengembara yang tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara setakat 27 Ogos lalu.
Beliau berkata, sebanyak 32.6 peratus kes atau 295 adalah dari Indonesia diikuti dengan Mesir dan Singapura masing-masing sebanyak 93 dan 70 kes.
“Sejumlah 904 kes dalam kalangan pengembara dikesan positif Covid-19 iaitu kadar positiviti sebanyak 0.85 peratus.
“Malaysia akan terus memperketatkan aktiviti kesihatan awam yang dijalankan di PMA Negara bagi memastikan jangkitan Covid-19 di luar negara dapat disekat,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Berhubung situasi terkini kes Covid-19 dalam negara, Noor Hisham berkata, sebanyak 10 kes baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 9,306.
“Sebanyak lapan kes adalah kes import membabitkan tujuh warga asing dan seorang warganegara.
“Daripada jumlah itu, tujuh kes dari India dengan lima dikesan di Kuala Lumpur dan dua di Selangor selain satu kes di Sarawak iaitu dari Filipina,” katanya.
Noor Hisham berkata, baki dua kes adalah penularan tempatan melibatkan seorang warganegara dan satu bukan warganegara.
Katanya, kes warganegara dikesan di Kedah daripada saringan bergejala manakala kes bukan warganegara membabitkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil. – K! ONLINE