JAKARTA – Seorang pengantin perempuan di wilayah Jawa Tengah, Indonesia menjadi sensasi internet kerana menerima mas kahwin berupa sebuah lori jenama Hino berharga 1 bilion rupiah (RM292,997), lapor laman berita Merdeka semalam.
Menerusi sebuah klip video yang tular di media sosial, pasangan pengantin baharu itu dilihat duduk di kabin lori tersebut dengan memakai pakaian pengantin sambil melambai tangan.
Lori itu turut dihias dengan reben dan belon pada bahagian depan sebagai tanda hadiah.
“Berapa nilai mas kahwin anda? Seorang pengantin wanita menerima mas kahwin berupa sebuah kenderaan pengangkutan daripada suaminya,” kata keterangan pada video tersebut.
Video itu menjadi tular dengan ramai netizen meluahkan rasa kagum melihatkan jenis mas kahwin tersebut beserta harganya yang mahal.
“Dahsyat sekali mas kahwin berharga 1 bilion rupiah (RM292,997),” kata seorang netizen.
“Mungkin impian wanita itu adalah untuk memiliki sebuah lori,” kata seorang lagi. – AGENSI