WASHINGTON – Seorang wanita terkejut apabila ibunya mengaku enggan menghadiri majlis perkahwinannya kerana ‘amat mencintai’ bakal menantu sendiri, lapor laman berita Mail Online kelmarin.
Wanita tersebut yang berkongsi dilemanya menerusi laman sosial, WeddingBee mengaku dunianya seakan gelap apabila ibu yang amat disegani itu menaruh perasaan terhadap bakal suaminya.
Malah, si ibu juga mengaku akan bertindak mengikut keinginannya jika berpeluang dan enggan menghadiri majlis perkahwinan pasangan tersebut.
Menurut wanita itu, tunangnya amat rapat dengan ahli keluarganya yang lain dan mereka kerap melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama seperti mendaki gunung dan berkhemah.
“Namun, ibu saya tidak bahagia dengan perkahwinannya bersama bapa dan tunang saya membuatkan ibu saya memiliki perasaan sayang yang tidak pernah dirasai sepanjang dia bersama dengan bapa saya,” luah wanita itu.
Netizen yang membaca luahan itu kemudiannya berkongsi pendapat dan memberikan sokongan kepada wanita tersebut.
“Perasaan ibu anda itu adalah sesuatu yang tidak wajar dan dia tidak seharusnya berkongsi perkara itu dengan anda,” komen seorang wanita.
“Ibu anda perlu menjalani terapi,” komen seorang wanita lain. – AGENSI