KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia dan Komunikasi (SKMM) telah menyekat 4,799 laman sesawang judi online sejak 2018 hingga 31 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, tindakan itu diambil berdasarkan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Dalam tempoh sama juga kata beliau, pihak SKMM turut menamatkan sebanyak 20,025 talian telefon kerana terbabit dengan kesalahan ‘spam’ khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mempromosi judi online, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain.
“SKMM juga telah menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar, bagi memastikan semua nombor aktif disahkan dengan sewajarnya.
“Ini penting bagi mengelakkan nombor-nombor berkenaan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah, termasuklah penipuan dan mempromosi judi dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai usaha drastik mengatasi isu mesej spam mempromosi perjudian online serta penglibatan syarikat telekomunikasi yang bersekongkol menjual data peribadi pengguna.
Tambah Zahidi, berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Data Peribadi, tiada sebarang kes penjualan data peribadi dicatatkan oleh syarikat telekomunikasi setakat ini.- K! ONLINE