KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Year End Zakat (YEZ) 2021 yang bermula hari ini hingga 31 Disember depan dalam usaha menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam menunaikan zakat.
Objektif kempen berkenaan ialah untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam, khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menunaikan zakat yang masih belum ditunaikan serta menambah zakat pendapatan seperti bonus, pertambahan gaji dan komisen pada kadar 2.5%.
Pelancaran dirasmikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman yang membawa tema “Berdiri Bersama” di ibu pejabatnya di sini hari ini.
Abdul Hakim berkata, PPZ-MAIWP mengadakan beberapa program yang akan melibatkan para pembayar zakat,
MAIWP dan para asnaf seperti program turun padang, Bual Bicara Santai dan Super Sunday.
”Kempen ini bertujuan untuk mengajak semua khususnya para pembayar untuk bersama kita menggalas tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan seterusnya kita bangkit dalam mengharungi situasi sukar Covid-19 ini,” katanya.
Selain itu, PPZ-MAIWP menyediakan perkhidmatan kemudahan temu janji untuk urusan pembayar zakat melalui Zakat+@MyTemuJanji.
Perkhidmatan ini memberi pilihan kepada para pembayar zakat dengan membuat temujanji melalui Kaunter Zakat Digital, Kaunter Zakat Bergerak, Door to Door & Ride2U.
”InsyaAllah, PPZ-MAIWP akan sentiasa memberikan yang terbaik dalam memudahkan pembayar untuk menunaikan zakat agar bukan sahaja kebajikan golongan asnaf, malah mereka yang memerlukan juga terus terbela dan terjaga,” ujarnya lagi.-K! ONLINE