TOKYO – Bekas puteri Jepun, Mako Komuro berlepas ke Amerika Syarikat (AS) bersama suaminya semalam sekali gus meninggalkan keluarga diraja untuk memulakan kehidupan baharu di New York.
Pasangan itu berkahwin secara tertutup di Tokyo bulan lalu selepas khabar angin bertahun-tahun tentang percintaan mereka yang menyatakan bahawa Kei menyebabkan Mako berada dalam keadaan ‘sedih serta menderita’.
Pasangan suami isteri itu yang kedua-duanya berumur 30 tahun, akhirnya menaiki penerbangan komersial dari Tokyo menuju New York semalam. Kei mengambil jurusan undang-undang dan kini bekerja di bandar raya AS tersebut.
Sambil dikawal ketat oleh polis dan pegawai lapangan terbang, Mako dan Kei melepasi kira-kira 100 wartawan serta jurukamera tanpa menjawab sebarang soalan.
Mako yang merupakan anak saudara Maharaja Naruhito, hilang gelaran diraja apabia dia berkahwin dengan rakyat biasa di bawah undang-undang pewarisan pasca Perang Dunia Kedua yang hanya membenarkan zuriat lelaki keluarga diraja untuk menaiki takhta.
Selepas mengumumkan pertunangan mereka pada 2017, pasangan kekasih itu berdepan laporan bahawa keluarga Kei mengalami masalah kewangan.
Agensi Kerabat Diraja menyatakan bahawa tumpuan media terhadap hubungan mereka menyebabkan Mako mengalami tekanan perasaan dan murung.
“Saya takut, sedih dan kesakitan apabila desas-desus sebelah pihak bertukar menjadi berita tidak berasas,” kata Mako pada sidang akhbar selepas perkahwinan mereka.
Kei pula berkata bahawa beliau berasa amat sedih kerana Mako menderita secara fizikal dan mental sambil mengisytiharkan cinta kepada isterinya.
“Saya sayang Mako. Kita hidup hanya sekali dan saya mahu menghabiskan hidup ini bersama orang yang kami sayang,” katanya.
Kontroversi yang menyelubungi pasangan itu dan penghijrahan mereka ke AS mencetuskan perbandingan dengan satu lagi pasangan diraja iaitu Putera Harry dan Meghan Markle.
Media Jepun melaporkan bahawa Mako dan Kei yang berkenalan di sebuah universiti di Tokyo, telah mempunyai kediaman di Bandar Raya New York. – AFP