PETALING JAYA – Tindakan aktres popular Rita Rudaini yang tidak habis-habis mempertikaikan keberkesanan vaksin Covid-19 semakin mendapat perhatian banyak pihak malah turut dibidas oleh komuniti pakar perubatan.
Seorang doktor pelatih dalam bidang perubatan keluarga (family medicine), Dr. Nimelesh Balanthiren menegaskan, sudah kerap kali diberitahu bahawa vaksin tidak boleh mencegah jangkitan Covid-19 seratus peratus namun ia boleh mencegah jangkitan teruk yang mengakibatkan komplikasi.
“Berapa banyak sudah nyawa yang hilang kerana Covid-19. Vaksin boleh melindungi seseorang tetapi sistem imuniti badan juga memainkan peranan penting. Jika imuniti rendah, risiko untuk kena tetap ada.
“Sebab itu masih ada nasihat untuk ikut prosedur operasi standard (SOP), pakai pelitup muka dan sebagainya,” katanya menerusi bebenang ciapan di laman Twitter baru-baru ini.
Tambah Nimelesh, ramai pesakit yang tidak sempat divaksin dan mengalami komplikasi Covid-19 sekarang, berbulan-bulan batuk, sukar bernafas malah ada juga yang keluar masuk hospital.
“Kita yang kerja dalam bidang kesihatan yang terdedah kepada kes sebegini. Ingat senang ke nak sampaikan berita kematian insan tersayang akibat Covid-19 kepada ahli keluarga?
“Jika anda (Rita) rasa anda artis atau orang berpengaruh, gunalah ‘suara’ anda di jalan yang betul,” ujar beliau.
Bidasan tersebut adalah balasan pada satu video aktres tersebut yang meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada netizen yang memberikan pelbagai gelaran kepadanya setelah lantang mempersoalkan tentang vaksinasi Covid-19.
“Kita ni insan terpilih, Tuhan pilih untuk dibukakan mata, kita patut bersyukur, pedulikan apa orang nak kata kerana kita ni lagi normal daripada mereka yang kena cucuk.
“Kalau betul vaksin tu menyelamatkan nyawa, kenapa nak kena cucuk berkali-kali? BUkalah pelitup muka tu, sembahyang kenapa masih berjarakan? kata vaksin tu bagus sangat,” katanya menerusi video yang ditularkan itu. – K! ONLINE