JERANTUT – Khabar gembira buat penduduk sekitar Hulu Tembeling di sini apabila Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tampil menyalurkan peruntukan segera sebanyak RM30 juta bagi membaik pulih kerosakan akibat runtuhan jalan di kawasan berkenaan.
Tindakan segera itu hadir susulan laporan Kosmo! pada 8 November lalu berhubung kebimbangan penduduk setempat selain telah memberi kesan kepada sektor pelancongan di kawasan sekitar.
Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, kerja membaik pulih jalan yang mendap dan runtuh termasuk empat lokasi runtuhan utama akan dimulakan minggu hadapan.
“Kami dari KPLB hadir ke lokasi hasil laporan akhbar Kosmo! baru-baru ini yang mana kami peka dengan setiap laporan media dan mengambil tindakan proaktif untuk mengatasinya.
“KPLB positif setiap laporan akhbar, malah mengalu-alukannya dan sentiasa turun padang bagi mengatasi kesulitan penduduk, terima kasih Kosmo!,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di kawasan jalan sepanjang 60 kilometer antara Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling di sini semalam.
Berdasarkan laporan Kosmo! itu, runtuhan jalan cerun telah menyebabkan pelancong domestik yang ingin mengunjungi kawasan ekopelancongan berkenaan berasa bimbang dengan risiko terjatuh ke dalam gaung.
Menurut Ramlan, KPLB akan melaksanakan segera kerja baik pulih di empat lokasi dikenal pasti selain beberapa lokasi jalan yang mengalami kerosakan kecil.
Beliau memberitahu, kerja membaik pulih turut melibatkan penyelenggaraan longkang dan kebersihan di sepanjang jalan bagi memastikan aliran air lancar ketika musim hujan.
“Sebelum ini terdapat keadaan longkang tanpa penyelenggaraan sempurna menyebabkan gangguan aliran air ketika hujan lebat sehingga berlaku mendapan dan hakisan dan memberi kesan kepada struktur jalan raya.
“Jabatan Kerja Raya akan memantau kerja membaik pulih dan papan tanda amaran juga akan diletakkan di lokasi dikenal pasti yang berbahaya khususnya ketika pemanduan waktu malam dan hujan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, projek jalan luar bandar dari Kampung Mat Daling di sini akan disambung ke Kampung Pasir Raja, Terengganu sepanjang 52.55 kilometer yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.