fbpx

Tempahan penuh hingga April depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pantai Chenang, Langkawi kembali meriah dengan keriuhan pelancong domestik selepas industri pelancongan dibuka semula bermula 16 September lalu.

LANGKAWI – Pemain industri pelancongan Pulau Langkawi te­ruja menyambut ketibaan pelancong asing sempena gelembung pelancongan antarabangsa bermula hari ini.

Sebahagian daripada mereka akan menerima ‘tetamu’ antaranya dari Singapura, Republik Czech, Poland dan Switzerland.

Pemilik rumah tamu Langkawi Country Lodge di Pantai Chenang, Norhayati Abdullah berkata, setakat ini dia telah menerima 31 tempahan penginapan daripada pelancong luar negara sehingga April tahun hadapan.

“Sebelum ini, hampir 90 peratus tetamu yang menginap di rumah tamu ini terdiri daripada pelancong asing.

“Ada dua pasangan masing-masing dari Republik Czech dan Switzerland telah menghubungi saya dan beritahu mereka telah menempah tiket penerbangan untuk datang ke sini pada 1 ­Disember nanti,” katanya.

Menurutnya, dia juga menerima panggilan daripada pelancong luar negara yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan.

“Ada juga di antara mereka yang meminta saya untuk mencadangkan mana-mana agensi pelancongan berdaftar untuk membuat tempahan,” ujarnya.

Pekerja Maneh Villa melakukan persediaan bagi menerima kehadiran pelancong asing.

Pemilik penginapan Maneh Villa di sini, Zainol Husin pula berkata, pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa tepat pada masanya kerana kebiasaannya jumlah pelancong asing akan meningkat ke Langkawi antara Di­sember hingga Mac.

“Kami menerima lebih kurang 50 peratus pelancong asing sebelum pandemik Covid-19 dan berharap suasana itu dapat dirasai semula susulan pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa ini,” ujarnya.

Bagi Pengarah Urusan EMM Holidays Sdn. Bhd., Emillia Mohd. Mahidin, dia positif industri pelancongan kembali pulih ­seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Melalui kemasukan pelancong asing tersebut, sudah pasti ia akan merancakkan lagi ekonomi di pulau peranginan ini,” katanya.

Pelaksanaan gelembung pelancongan domestik yang bermula pada 16 September lalu dianggap berjaya apabila purata jumlah kemasukan pelancong adalah melebihi sasaran iaitu sebanyak 2,000 orang sehari.

Pada September, purata kemasukan pelancong adalah 2,500 orang sehari dan jumlah itu me­ningkat kepada 3,700 orang sehari dua minggu pertama Oktober sebelum rentas negeri dibenarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI