SEJAK di bangku sekolah menengah, gadis berusia 21 tahun itu sudah menunjukkan minat dalam bidang pengucapan awam dengan menyertai beberapa pertandingan debat dan forum.
Apabila melangkah ke alam universiti, Siti NurDayini Izzati Shaik Wahid memanfaatkan kelebihan tersebut dengan menjadi ahli Parlimen Wanita Muda (PWM) serta Forum Nasional.
Kedua-dua pentas tersebut memberi peluang buat gadis kelahiran Ipoh, Perak itu mengasah bakat dalam bidang pengucapan awam serta meraih pelbagai pengalaman berharga.
Ia juga memberi peluang kepada Siti NurDayini Izzati untuk mengetengahkan pelbagai isu semasa terutamanya berkaitan pemerkasaan golongan wanita di negara ini.
Menurutnya, hak wanita perlu ditegakkan memandangkan golongan tersebut sering menjadi mangsa gangguan seksual seperti di tempat kerja atau di dalam pengangkutan awam.
“Saya memang suka menyertai pertandingan pengucapan awam seperti Forum Remaja sehingga peringkat daerah. Jadi, apabila masuk universiti, saya teruskan minat itu.
“Saya mula menjadi ahli PWM dan Forum Nasional. Kedua-dua platform ini saya gunakan untuk meningkatkan martabat wanita dalam masyarakat,” ujarnya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut aktif dalam bidang kepimpinan.
Sejak di Program Asasi UIAM lagi, Siti NurDayini Izzati atau mesra disapa NurDayini telah dipilih menjadi presiden bilik kuliah.
Ia diteruskan selepas melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda apabila dilantik menjadi beberapa biro dalam Persatuan Sains Politik UIAM.
Sewaktu bergelar biro, dia merupakan salah seorang kru yang terlibat menjayakan rancangan bual bicara politik bersama dekan di fakulti Sains Politik.
“Pada peringkat awal, saya hanya pegang jawatan sebagai biro. Selepas melihat komitmen diberikan, saya dilantik sebagai naib presiden Persatuan Sains Politik.
“Jawatan ini memberi peluang kepada saya untuk mengasah bakat menjadi seorang pemimpin, selain belajar mengendalikan program,” ujarnya.
Pada masa sama, NurDayini aktif dalam beberapa program di kampus seperti menjadi fasilitator, teater serta sukarelawan program kebajikan.
Sekiranya berkelapangan, dia gemar menyertai aktiviti berkaitan politik yang dikendalikan oleh seorang ahli politik berpengaruh di negara ini.
Dia juga berpeluang menyertai sesi town hall bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diadakan di UIAM dan Universiti Malaysia Pahang.
“Saya gemar menyertai program-program ini kerana ia banyak mendedahkan mengenai cara meningkatkan kualiti ucapan di depan khalayak,” tegasnya.
NurDayini memberitahu, dia turut memasang impian untuk terlibat dalam bidang politik selepas menamatkan pengajian kelak dan berharap dapat menimba ilmu sebanyak mungkin ketika di kampus.
Meskipun sibuk dengan pelbagai aktiviti di dalam dan luar kampus, namun dia tidak pernah sesekali mengabaikan pelajaran di universiti.
Jelasnya, dia perlu bijak membahagi masa dengan mendahulukan perkara-perkara penting dahulu sebelum diikuti aktiviti sampingan lain.
“Sejujurnya, kadang-kadang ada juga dilema apabila berlaku pertindihan jadual. Saya selalu ikut pesan ibu bapa supaya pilih perkara penting terlebih dahulu.
“Saya juga ada buat jadual di dalam Google Calendar bagi memastikan tidak berlaku pertindihan aktiviti pada satu-satu masa,” katanya.
Sebelum mengakhiri bicara, NurDayini memaklumkan, dia berasa amat selesa menjalani peperiksaan semester secara online ketika ini.
Jelasnya, ia dapat membantu melahirkan seorang mahasiswa yang mampu menganalisis sesuatu isu serta berfikir secara lebih kritikal.
“Secara amnya, belajar bersemuka lebih baik berbanding online kerana dapat bertanya soalan dengan pensyarah.
“Tetapi, saya suka peperiksaan secara online kerana boleh buka buku. Ia dapat melatih mahasiswa untuk menganalisis bagi mendapat jawapan terbaik,” tegasnya.