MANCHESTER – Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling bersedia untuk berkelana ke Barcelona sebagai pemain pinjaman sekiranya terus gagal mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan itu.
The Catalans tidak lagi menyembunyikan keinginan mereka untuk mendapatkan pemain antarabangsa England itu yang dilihat semakin tersisih daripada skuad kendalian Pep Guardiola musim ini.
Bagaimanapun, situasi kewangan kelab gergasi Sepanyol itu menjadi halangan untuk mereka menawarkan kontrak pinjaman bagi menyertai mereka ketika Sterling menerima pendapatan mingguan sebanyak £300,000 (RM1.67 juta).
Dalam laporan sebelum ini, Sterling dikatakan bersedia untuk kembali mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama The Citizens, namun dia juga tidak menolak peluang sekiranya ditawarkan beraksi bersama Barcelona.
Kehadiran Jack Grealish menyaksikan Sterling kerap memanaskan bangku simpanan ketika bekas pemain Aston Villa itu selesa beraksi di posisi yang sebelum ini dimilikinya.
Selain Grealish, Sterling juga perlu bersaing dengan pemain muda, Phil Foden di posisi sayap kiri dan cukup cemerlang membantu City menewaskan
Manchester United sebelum ini.
“Jika ada peluang untuk saya beraksi lebih kerap bersama pasukan lain, saya terbuka menerimanya.
“Antara cabaran yang saya letakkan dalam diri sejak kecil untuk dicapai adalah beraksi di luar England, ia menjadi impian saya.
“Sebagai pemain dari England, saya hanya mengetahui mengenai Liga Perdana Inggeris. Saya sentiasa berfikir bahawa satu hari nanti saya mahu bermain di luar untuk menikmati cabaran berbeza,” kata Sterling. – AGENSI