LONDON – Chelsea dilaporkan bersedia memberikan sokongan kewangan yang lebih kepada pengurusnya, Thomas Tuchel untuk berbelanja pada jendela perpindahan musim sejuk Januari nanti.
Menurut Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia sudah menyiapkan dana berjumlah £241 juta (RM1.34 bilion) untuk pasukan itu menambah kekuatan dengan mendapatkan pemain-pemain baharu yang diperlukan oleh Tuchel.
Biarpun jumlah berkenaan dianggap cukup besar, namun Chelsea tidak melanggar had Peraturan Kewangan Adil (FFP) yang diperkenalkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada 2009.
FFP diperkenalkan bagi memantau perbelanjaan kelab-kelab di Eropah bagi tempoh setiap tiga tahun untuk menyekat mereka berbelanja dengan melampau melebihi pendapatan yang diperoleh bagi mengelakkan berdepan masalah muflis.
Bagaimanapun, laporan menyebut bahawa Chelsea merupakan pasukan keempat dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang mempunyai status kewangan yang stabil dengan sokongan penuh daripada pemiliknya, Roman Abramovich.
Manchester United berada di kedudukan ketiga dengan memiliki kelonggaran untuk berbelanja berjumlah £243 juta (RM1.35 bilion), Liverpool di kedudukan kedua dengan £273 juta (RM1.52 bilion), manakala Tottenham Hotspur dengan jumlah £400 juta (RM2.22 bilion).
Bagaimanapun, Manchester City hanya mempunyai ruang sekitar £84 juta (RM468.04 juta) untuk berbelanja sekali gus membuka ruang besar untuk Chelsea mendapatkan pemain-pemain yang mereka inginkan pada Januari nanti.
The Blues dikatakan sudah menamakan beberapa pemain seperti Aurelien Tchouameni, Jules Kounde dan Karim Adeyemi sebagai pemain buruan mereka sebaik jendela perpindahan dibuka nanti. – AGENSI