LONDON – Manchester United dilaporkan sedang meningkatkan usaha mereka untuk memujuk bekas jurulatih Real Madrid bagi menjadi pengurus pasukan itu menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.
Biarpun setakat ini masih belum ada sebarang keputusan drastik dibuat oleh pihak pengurusan United mengenai masa depan barisan kejurulatihan, namun prestasi semasa pasukan yang semakin merudum terutama tewas kepada Manchester City dan Liverpool menyebabkan kedudukan Solskjaer terancam.
Laporan menyebut, mereka masih bersedia untuk memberikan pengurus dari Norway itu peluang, namun dalam masa yang sama sedang menyiapkan ‘pelan B’ dengan memujuk Zidane sekiranya United terus berdepan masalah dalam perlawanan akan datang.
Zidane, 49, ketika ini masih belum menyertai mana-mana pasukan selepas meletakkan jawatan buat kali kedua di Real penghujung musim lalu.
Karier kejurulatihan Zidane bersama Real sangat cemerlang apabila berjaya merangkul tiga gelaran Liga Juara-Juara serta dua trofi La Liga.
Bagaimanapun, Zidane dipercayai masih ragu-ragu sama ada jawatan di Old Trafford adalah terbaik untuk dirinya ketika beliau juga dikatakan berminat untuk mengemudi skuad kebangsaan Perancis menggantikan Didier Deschamps selepas tamat saingan Piala Dunia 2022.
Selain United, Zidane turut dinamakan sebagai antara calon jurulatih Paris Saint-Germain sekiranya Mauricio Pochettino gagal untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh pemilik pasukan itu iaitu trofi Eropah.
United dikatakan bersedia menggunakan dua pemain mereka, Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane yang bakal menjadi ‘ejen’ untuk memujuk Zidane menerima jawatan itu nanti. – AGENSI