PARIS – Kemampuan penggempur sensasi dunia, Lionel Messi dalam memberikan aksi terutama ketika menggelecek bola tidak boleh dipertikai, namun segalanya seakan berubah sejak perpindahannya ke kelab Perancis, Paris Saint Germain.
Dalam satu kajian mengenai kadar gelecekan pemain yang beraksi di lima liga utama Eropah menyaksikan nama Messi langsung tidak tersenarai dalam kelompok 50 terbaik untuk musim ini.
Walaupun bergelut untuk meledak jaringan, pemain Wolverhampton Wanderers, Adama Traore mendahului senarai pemain paling berjaya dalam aspek gelecekan bola dengan kadar 11.2 dalam setiap 100 minit.
Bintang Newcastle United, Allan Saint-Maximin dan dua bintang PSG, Neymar dan Kylian Mbappe melengkapkan senarai 10 terbaik.
Ketika masih bersama Barcelona, Messi yang juga pemenang enam kali Anugerah Ballon d’Or memiliki rekod yang lebih baik iaitu 4.9 per 100 minit, namun musim ini dia hanya merekodkan catatan 2.7 sahaja.
Biarpun berjaya meledak 30 gol dan menghasilkan sembilan umpanan gol ketika bersama Barcelona musim lalu, Messi gagal membawa momentum berkenaan ke Paris apabila gagal meledak gol atau mencipta peluang buat rakan sepasukan dalam saingan Ligue 1 musim ini.
Situasi itu menyaksikan Pengarah Bola Sepak PSG, Leonardo tampil mempertahankan keputusan pihak pengurus membawa Messi ke kelab itu.
“Messi tiba dan menghabiskan tempoh dua bulan pertamanya bersama skuad kebangsaan Argentina berbanding di Paris.
“Apabila terlalu banyak perjalanan yang diharungi, sudah pasti akan berlaku ketidakselesaan otot dan memberi kesan kepada aksi dan berisiko mengalami kecederaan,” katanya. – AGENSI