KUALA LUMPUR – Setelah melancarkan single pertama mereka tahun lalu berjudul Naluri, kini pasangan kekasih Tuju K-Clique dan penyanyi rap wanita, Loca B kembali dengan kolaborasi kedua mereka berjudul Empati.
Empati merupakan gubahan mereka berdua sendiri dan diterbitkan oleh penerbit muzik hip hop masa kini, Ming dari MassMusic Studios. Single ini mempunyai muzik dan bunyi yang berbeza daripada single pertama mereka, Naluri.
Melodinya lembut tetapi juga rancak dengan getaran Afrobeat.
“Saya dan Tuju menulis lirik lagu ini berdasarkan perjalanan hidup kami yang banyak cabaran dan dugaan bersama. Kami seperti meluahkan segala-galanya di dalam lagu ini dan membantu kami untuk mengeratkan lagi hubungan kami dalam kehidupan dan sama-sama belajar daripada kesilapan selama ini”, jelas Loca B.
Empati membawa maksud daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain.
“Kami menggunakan kelebihan ini sebagai pencipta lagu untuk bersuara bukan saja untuk kami tetapi untuk mereka di luar sana yang pasti pernah melalui dan mempunyai perasaan ingin memperbaiki diri”, jelas Tuju.
Terdahulu Loca B atau nama sebenarnya, Hani Azali pernah membuat pengakuan dikasari sehingga anggota badannya lebam, namun menarik semula dakwaan terbabit tidak lama selepas pengakuan tersebut dibuat di media sosialnya.
Bagaimanapun, pasangan itu kembali berbaik semasa negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mac lalu. Ketika itu juga single berkenaan mula dihasilkan dan disiapkan dalam tempoh dua minggu.
Secara lebih khusus, Empati merupakan refleksi diri Tuju dan Loca. Khalayak diharapkan dapat mengaitkan lagu berkenaan dengan kehidupan mereka.
Peminat juga diharap dapat merima lagu Empati biarpun menampilkan muzik berbeza berbanding apa yang sedia dalam pasaran.
Empati terbitan Black Hat Cat Records dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula hari ini manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran Youtube Black Hat Cat Records sejak 26 Ogos lalu. K! ONLINE