Platform PKS
PETALING JAYA – Semua ibu bapa mahu melihat anak-anaknya berjaya membina kerjaya atau perniagaan yang diusahakan bagi mengubah nasib keluarga untuk kesenangan anak cucu dan cicit serta generasi masa depan.
Tiada istilah merungut, letih dan berkira dengan segala jerih perih yang diusahakan bagi membesarkan anak-anak sebaik mereka dilahirkan ke dunia hinggalah anak-anak itu menjadi dewasa dan mampu berdikari.
Pelbagai pengorbanan dilakukan tanpa meminta dihitung nilainya selain berdoa, berpesan dan memberi semangat serta motivasi bagi menyokong segala usaha anak-anak memperoleh kejayaan.
Keprihatinan seorang bapa, M. Selveekam yang sentiasa memberi nasihat kepada semua anaknya termasuk anak perempuannya, S. Sailajah, 34, untuk menjadi jutawan selewat-lewatnya pada usia 30 tahun telah memberi suntikan semangat yang kuat untuk wanita itu merealisasikan hajat bapanya.
Usahawan kelahiran Masai, Johor itu berpendapat bahawa sasaran yang diletakkan bapanya itu agak sukar dicapai memandangkan selepas tamat pengajiannya di Kolej PTPL, Pulau Pinang, pendapatan bulanannya tidak sampai RM2,000.
“Saya masih ingat lagi gaji pertama ketika bekerja di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang hanya RM1,800 sebulan.
“Setiap hari ketika waktu makan tengah hari, ayah sentiasa menelefon dan kata-kata akhir sebelum dia mengakhiri perbualan adalah dengan menitipkan nasihat agar saya dan adik beradik yang lain menjadi jutawan selewat-lewatnya pada umur 30 tahun.
“Peringatan ayah itu seringkali bermain di fikiran saya kerana tidak mudah untuk menjadi jutawan pada usia muda,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tidak mahu hasrat bapanya tidak kesampaian, Sailajah mengambil keputusan untuk membuat kerja sambilan dengan menjadi guru tuisyen dan berniaga produk kecantikan secara online selepas habis waktu kerja hakikinya.
Namun setelah beberapa bulan sibuk dengan aktiviti baharunya itu, wanita ini berasa terlalu penat dari segi fizikal dan mental.
“Jadi, saya nekad berhenti kerja dan pulang ke Johor untuk berniaga sepenuh masa.
“Saya ingatkan menjadi peniaga kerjanya agak mudah kerana ayah sebelum ini turut berniaga secara kecil-kecilan dan berjaya membesarkan kami adik-beradik. Tetapi secara realitinya, berniaga pun susah.
“Bayangkan tidak ada satu produk yang dapat dijual dalam tempoh yang lama sehingga hampir habis duit simpanan,” katanya.
Enggan mengaku kalah, Sailajah mengambil keputusan lebih berani dengan menyertai kelas perniagaan anjuran Richworks International Sdn. Bhd. (Richworks) yang dipelopori mentor usahawan terkenal, Datuk Wira Dr. Azizan Osman pada tahun 2014.
Menggunakan jenama Sailajah, syarikat miliknya, Total Beauty For You Sdn. Bhd. mengeluarkan produk penjagaan rambut dan kulit kepala terdiri daripada syampu, tonik dan serum.
Setelah beberapa hari memasuki kelas anjuran Richworks, perniagannya bertambah maju apabila berjaya mencapai jualan sebanyak RM28,000 sebulan pada bulan berikutnya.
“Kemudian selepas mengikuti beberapa program anjuran syarikat tersebut, jualan perniagaan bertambah baik dan akhirnya kami berjaya mencapai jualan RM1 juta sebulan pada tahun lalu,” ujarnya.
Selain itu, tambah beliau, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, operasi perniagaan terus rancak berjalan, malah mencatat pertumbuhan jualan yang baik selain mampu menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan baharu.
“Sasaran utama syarikat pada tahun hadapan adalah untuk mengukuhkan pasaran domestik serta menceburi perniagaan di pasaran luar negara iaitu di India, Sri Lanka dan New Zealand,” ujarnya.