BANGKOK – Polis kawalan sempadan Thailand merampas sejumlah 1,320 kilogram ganja mampat daripada sebuah van yang ditinggalkan oleh seorang penyeludup dadah selepas polis mengejar suspek di daerah Uthen awal semalam, lapor akhbar Bangkok post.
Pasukan polis yang mengawal pos pemeriksaan di kampung Ban Na Nua, daerah Uthen mengarahkan sebuah van dengan nombor pendaftaran Bangkok supaya berhenti untuk pemeriksaan tetapi pemandunya memecut pergi. Polis kemudian mengejar suspek.
Anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar van yang menyebabkan kenderaan itu berhenti. Pemandu van kemudian keluar dari kenderaannya dan melarikan diri.
“Apabila polis memeriksa van tersebut, mereka menemui sebanyak 1,320 ketulan ganja mampat yang setiap satunya seberat 1 kilogram di dalam 20 karung guni,” kata timbalan ketua Kompeni Polis Kawalan Sempadan Ke-23, Leftenan Kolonel Polis, Thanaphon Thaonoo.
Ganja yang dirampas itu diseludup dari Laos dan sepatutnya dihantar ke luar negara menerusi selatan Thailand. Polis berkata ganja Gred A itu berharga sekurang-kurangnya 10 juta baht (RM1,267,277).
Polis sedang menyiasat siapa pemilik van berkenaan bagi mengenal pasti dalang penyeludupan itu. Sejak awal tahun ini, polis telah merampas lebih 5 tan ganja di wilayah Nakhon Phanom Province yang menempatkan daerah Uthen. – AFP