PENYANYI Meghan Trainor yang baru sahaja bergelar seorang ibu pada 8 Februari lalu mengakui, gagal untuk menjadi seorang pengasuh yang baik.
Ujar pelantun lagu All About That Bass itu, gara-gara kurangnya ilmu pengetahuan tentang cara-cara menguruskan bayi dengan baik, dia telah menjadi punca anak lelakinya, Railey mengalami ruam teruk pada badan.
Ujar Trainor, kejadian berlaku semasa dia membawa anaknya keluar berjalan-jalan untuk menikmati suasana pagi.
“Sebaik sahaja pulang, saya melihat tubuh anak saya dipenuhi ruam kecil berwarna merah. Bintik-bintik itu tumbuh dengan banyak sehingga membuatkan saya panik,” katanya.
Disebabkan bimbang, Trainor telah menghubungi doktor peribadinya dan bertanyakan tentang punca tubuh anaknya ditumbuhi bintik kemerahan.
“Kata doktor, anak saya mengalami ruam panas kerana tidak boleh terdedah pada pancaran cahaya matahari terlalu lama.
“Saya sangat menyesal membawa anak saya keluar berjemur dan tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.