SEREMBAN – Seorang wanita, Santhet Periasamy, 54, ralat tidak dapat selamatkan tujuh ekor haiwan peliharaannya dalam kebakaran di Rumah Rakyat Mantin di sini hari ni.
Menurutnya, ketika kejadian berlaku hanya ada anak, Viruththteesaran Jahathisan, 20, berada dalam rumah sedang berehat dengan seekor anjing dan enam kucing.
“Dia tidak dapat selamatkan haiwan-haiwan kami tetapi saya bersyukur dia selamat dalam kejadian itu. Hanya sempat selamatkan motosikal.
“Anak saya beritahu ketika kejadian dia sedang berehat dalam bilik dan tiba-tiba bau asap dan terus keluar selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) , Penolong Penguasa Bomba, Priscilla Carol Thomas, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 11.44 pagi.
Katanya, seramai 13 anggota BBP Mantin dengan bantuan BBP Nilai dikerahkan ke lokasi berkenaan.
“Kebakaran itu membabitkan empat buah rumah musnah 100 peratus manakala satu rumah lagi hanya melibatkan kemusnahan 20 peratus sahaja.
“Semasa kejadian tiada kecederaan dilaporkan kerana tiga rumah tersebut tidak berpenghuni manakala dua keluarga yang tinggal di dua rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.