fbpx

Tak mustahil boleh lari 100m bawah 10s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemegang rekod 100m kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

IMPIAN untuk melihat Malaysia mempunyai pelari pecut yang mampu melakukan catatan masa bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m) kini bukan lagi omong kosong.

Berdasarkan statistik, keba­nyakan atlet di dunia terutama dari benua Asia mengambil masa di antara enam sehingga 10 tahun untuk mencatat masa di bawah 10s.

Ada atlet yang bertahun-­tahun lamanya berlatih dan berhabis wang melakukan kajian serta penyelidikan untuk mencari formula terbaik bagi memastikan mereka muncul antara pelari bawah 10s di atas muka bumi ini.

Setakat ini, benua Asia cuma ada lapan pelari yang baru berjaya mencatatkan masa di bawah 10s dengan enam daripadanya lahir di Asia, manakala dua lagi atlet naturalisasi mewakili Qatar.

Enam atlet kelahiran Asia itu ialah dua jaguh pecut China, Su Bingtian dan Xie Zhenye; tiga pelari Jepun, Abdul Hakim Sani Brown, Yoshihide Kiryu dan Yuki Koike serta Barakat al-Harthi dari Oman.

Keenam-enam atlet berkenaan mengambil masa enam sehingga 10 tahun untuk mencatat masa di bawah 10s sejak membuat debut pertama dalam kejohanan diiktiraf Olahraga Dunia.

Justeru, Projek Bawah 10 saat (B10) yang diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini adalah satu langkah yang amat bagus untuk merealisasikan impian tersebut.

Penasihat Projek, Dr. Pekan Ramli berkata, projek berkenaan bakal membabitkan pelari-pelari yang berada di institut pengajian tinggi (IPT) ataupun mereka yang mahu manyambung pengajian selepas tamat sekolah.

“Sebab itu syarat diletakkan dari 18 hingga 22 tahun kerana selepas lima tahun sama ada berjaya atau tidak, program itu tidak akan habis begitu sahaja.

“Projek B10 ini bukan hanya terarah bawah 10s. Ia boleh membentuk kumpulan pelari pecut yang besar dalam perjalanan untuk memecahkan halangan bawah 10s.

“Secara purata jika rata-rata pelari dapat lakukan 10.10s, ia bermakna kita boleh kuasai Asia Tenggara dan tidak mustahil lebih jauh hingga ke benua Asia,” katanya yang juga Ketua Seksyen Sukan KPT.

Arena olahraga negara beruntung kerana mempunyai ramai pelari muda dengan catatan memberangsangkan selari de­ngan usia mereka contohnya se­perti pemegang rekod 100m kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s.

Selain itu, bintang dalam pembikinan yang baru berusia 17 tahun, Muhammad Azeem Fahmi juga antara pelari yang dilihat mempunyai prospek cerah untuk memecahkan catatan bawah 10s.

Menariknya, Kosmo! menerusi satu laporan khas pada 1 September tahun lepas mendedahkan sasaran Azeem yang diberi jolokan nama Usain Bolt Malaysia, untuk mencetak masa bawah 10s sebelum dia berusia 26 tahun.

Jika Azeem memilih untuk menjadi sebahagian daripada Projek B10 apabila berusia 18 tahun pada tahun depan, pelari dari Ipoh, Perak itu berpeluang menjadi produk pertama me­nguji keberkesanan projek ber­kenaan.

Tak mustahil juga Malaysia mampu menjadi negara Asia Tenggara pertama mempu­nyai pelari 100m dengan catatan bawah 10s dengan Indonesia ketika ini dilihat paling hampir melalui Lalu Muhammad Zohri menerusi catatan masa 10.03s.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI