fbpx

Lima ditahan 420 saman dikeluarkan dalam operasi hujung minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi samseng jalanan di sekitar ibu negara. Foto IHSAN JSPT KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR – Seramai lima penunggang motosikal ditahan manakala sebanyak 420 saman di atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan, Ops Motosikal dan Ops Pelbagai di beberapa kawasan sekitar ibu negara awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, operasi yang dijalankan bermula 12 November sehingga awal pagi tadi dilakukan dengan kekuatan 10 pegawai kanan dan 86 pegawai rendah polis di sekitar pusat bandar.

“Menerusi Ops Samseng Jalanan yang dibuat di sekitar Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), seramai lima penunggang motosikal ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan pelbagai aksi seperti aksi zig zag, roket, Superman selain bersaing sesama mereka.

“Kesemua tangkapan berusia 18 hingga 26 tahun itu kemudiannya telah dibawa ke Balai Trafik Jalan Bandar dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkafli, sebanyak 420 saman juga telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 13 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 kerana didapati mengubah suai ekzos.

“Menerusi Operasi Pelbagai pula, seramai 11 lelaki yang berusia 22 hingga 68 tahun telah ditahan di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua tangkapan juga telah dibawa ke Balai Trafik, Jalan Bandar dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama,” tegas beliau.

Jelas Zulkafli, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan di ibu negara serta menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI