fbpx

Bermula sebagai kontak rapat, Fara Fauzana pula positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARA FAUZANA

PETALING JAYA – Selepas menjadi kontak rapat dan menjalani kuarantin kendiri sejak Isnin lalu, pengacara yang juga penyampai radio terkenal Fara Fauzana akhirnya disahkan positif covid hari ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Fara atau nama lengkapnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 41, memberitahu dia dijangkiti Covid-19 selepas menjadi kontak rapat seseorang yang turut dijangkiti wabak tersebut.

Ujar bekas pengacara program Melodi itu, selepas hari pertama mendapat tahu kontak rapatnya positif Covid-19, dia terus melakukan kuarantin kendiri di rumah sejak Isnin lalu.

“Apabila tahu sahaja saya menjadi kontak rapat (individu positif Covid-19), saya terus kuarantin kendiri di rumah sejak Isnin lalu.

“Selepas hari kelima berjumpa dengan kontak rapat, saya buat ujian calitan Covid-19 (PCR) di hospital dan terus pulang ke rumah,” ujarnya.

Ujarnya lagi, sewaktu melakukan ujian calitan tersebut, dia sudah mengalami batuk-batuk dan pening kepala selain seluruh anggota badannya terasa sakit seperti dicucuk-cucuk.

“Tunggu keputusan kali ini agak mendebarkan sedangkan saya sudah selalu buat ujian calitan Covid-19. Saya kena tunggu sehingga 24 jam sebelum dihubungi pihak hospital yang mengesahkan saya positif Covid-19,” katanya.

Selepas mendapat tahu dirinya turut dijangkiti wabak tersebut, Fara berkata dia terus menghubungi kontak rapat yang pernah ditemuinya sekitar tiga hingga lima hari sebelum dia melakukan kuarantin kendiri pada Isnin lalu.

“Jangan takut untuk maklumkan pada mereka bahawa kita positif Covid-19. Minta mereka buat ujian calitan dan lakukan kuarantin kendiri jika perlu.

“Nasib baik saya jenis terus balik rumah selepas habis bekerja dan kalau jumpa sesiapaun, saya tak bersalaman atau berpelukan,” ujarnya.

Dalam hantaran tersebut, Fara yang kini kembali mengendalikan segmen Hot Rakyat Rangers bersama AG dan Fad di Hot.fm berkata, pada tiga hari pertama selepas disahkan positif, dia mengakui berada dalam keadaan sedikit sensitif dan mengalami ‘jiwa kacau’.

“Waktu itu tak boleh terima lawak sangat dengan sesiapa. Benda lambat pun boleh jadi hal. Tapi sekarang dah okay,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI