Oleh OTHMAN YAHAYA
SUNGAI PETANI – Polis akan melaksanakan sepenuhnya penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) termasuk tidak membenarkan pegawai dan anggotanya yang tinggal di tiga zon di Ambangan Heights, Amanjaya di sini daripada keluar bekerja.
Tiga zon yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) itu melibatkan Zon Mawar, Melor dan Kenanga.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, semua warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda terlibat wajib mematuhi perintah arahan kuarantin di rumah.
“Seramai 25 pegawai, anggota serta kakitangan awam IPD Kuala Muda yang tinggal di kawasan perumahan ini tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD Temco dan wajib mematuhi arahan kuarantin di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau sekatan jalan raya (SJR) pada hari pertama penguatkuasaan PKPD Temco di Zon Kenanga, Ambangan Heights di Amanjaya di sini hari ini.
Kata beliau, selain polis, pihaknya juga dimaklumkan seramai enam anggota tentera tinggal di kawasan perumahan tersebut dan tidak dibenarkan keluar bertugas.
Dalam pada itu, Adzli berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) yang beroperasi 24 jam telah dibuka di Balai Polis Bedong sepanjang perintah tersebut dilaksanakan.
“Penduduk boleh mendapatkan nasihat di pusat itu jika mempunyai sebarang masalah kerana pelaksanaan PKPD Temco ini bukan untuk menimbulkan kesulitan, sebaliknya membendung virus berbahaya itu daripada terus menular,” ujarnya. – K! ONLINE