PUTRAJAYA – Seramai 11 individu bakal menyertai Pasukan Petugas Khas semakan semula undang-undang berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia masih kekal dipengerusikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Dua peguam tempatan yang mengendalikan kes ini dari 2016 hingga 2017 iaitu Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek juga menyertainya.
“Turut terlibat ialah dua pengamal undang-undang, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Penubuhan pasukan itu selaras persetujuan jemaah menteri pada 29 Oktober lalu dengan mereka akan mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan dalam kes tersebut.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 memutuskan Pulau Batu Puteh sebagai milik Singapura manakala Batuan Tengah sebagai hak kedaulatan mutlak Malaysia.
Namun keputusan di The Hague, Belanda itu tidak memuktamadkan status Tubir Selatan pula dan hanya ditentukan kemudian dengan berdasarkan kedudukan terkini batuan itu terletak.
Pasukan itu juga akan mengenakan tindakan undang-undang ke atas individu yang didapati tidak mahu meneruskan permohonan semakan rayuan sebelum tempoh akhir pada 2018 lalu. – K! ONLINE.