fbpx

Sokongan kerajaan perkasa PMKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSOL (kanan) melawat gerai usahawan tempatan pada Karnival Jualan Beli Barangan Malaysia di Dataran Chenang, Langkawi semalam. – NUR AMALINA AZMAN

LANGKAWI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) optimis jualan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) pada tahun ini meningkat sekurang-kurangnya 2.5 peratus berbanding RM3.3 bilion pada tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, komitmen tersebut adalah berlandaskan perkembangan unjuran semasa yang semakin hampir mencapai sasaran.

Katanya, unjuran itu mampu dicapai walaupun pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak awal tahun ini sedikit merencatkan usaha untuk merancakkan pemulihan ekonomi negara menerusi KBBM.

“Sokongan kerajaan untuk terus memperkasa usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan memulihkan ekonomi menerusi KBBM juga terbukti apabila kementerian diberikan peruntukan RM20 juta dalam Bajet 2022.

“Ia bagi merancakkan semula industri ini dan meningkatkan daya saing perdagangan domestik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian KBBM peringkat kebangsaan di Dataran Chenang, di sini semalam.

Bersempena majlis itu turut berlangsung Karnival Jualan Beli Barangan Malaysia membabitkan seramai 20 usahawan mikro, kecil dan sederhana tempatan yang berlangsung sejak Khamis lalu hingga hari ini.

Beliau berkata, pada 2019, pelaksanaan KBBM mencatatkan nilai jualan RM2.87 billion dan daripada jumlah itu, sebanyak RM6.84 juta diperoleh melalui portal dalam talian marketplace.

“Sementara pada 2020, pelaksanaan kempen ini telah menyaksikan peningkatan sebanyak RM3.3 bilion.

“Portal dalam talian marketplace mencatatkan peningkatan yang amat besar pada 2020 berbanding 2019 dengan nilai jualan melebihi RM145 juta,” ujarnya.

Katanya, seiring dengan konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, rakyat diseru untuk sama-sama menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu negara bangkit daripada impak Covid-19.

“Menerusi KBBM, kementerian menggalakkan rakyat utamakan barangan buatan tempatan.

“Ia bukanlah suatu yang baharu, malah pelaksanaan inisiatif ini telah dimulakan sejak 1984 lagi dan sejak dari itu, kempen telah ditambah baik sehinggalah menjadi salah satu trademark KPDNHEP,” jelasnya.

Menurutnya, inisiatif KBBM merupakan platform dalam penjenamaan bagi meningkatkan kepercayaan pengguna (brand trust) terhadap produk tempatan.

“Usaha ini dapat menonjolkan kepelbagaian barangan buatan tempatan serta membantu memasarkan produk dan perkhidmatan,” katanya.

Katanya, saban tahun kempen itu juga semakin berkembang dengan penglibatan lebih banyak rakan kerjasama strategik pada tahun ini antaranya AEON Big, Giant, Mydin dan 99 Speedmart.

Katanya, selain pelaksanaan secara fizikal di premis-premis peruncitan, pelaksanaan KBBM juga dilakukan secara dalam talian dengan rakan kerjasama strategik daripada platform dalam talian seperti Shopee dan LAZADA.

Katanya, kementerian juga sedang dalam usaha menambah baik program penandaan logo Buatan Malaysia.

“Ini selaras hasrat kementerian untuk melihat lebih banyak produk keluaran tempatan diiktiraf dan dikenali di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Penandaan logo Buatan Malaysia ini memberi nilai tambah dan jaminan kualiti terhadap sesuatu produk keluaran tempatan kerana penggunaan logo ini tidak diberikan sewenang-wenangnya kepada pengusaha produk dan perlu melalui prosedur permohonan yang ketat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI