TRACY, CALIFORNIA – Sepasang suami isteri di Amerika Syarikat yang mengubah suai sebuah rumah mayat menjadi kediaman terkejut apabila menemui sebuah bilik rahsia yang digunakan untuk mengawet mayat, lapor akhbar New York Post semalam.
Kaycee dan suaminya, Andrew Olague membeli kediaman berusia 98 tahun itu lebih setahun lalu dan kini sedang berusaha mengeluarkan isi-isi asal kediaman itu yang menyeramkan.
Pasangan itu memuat naik video kediaman mereka di Tracy, California itu menerusi aplikasi TikTok dengan akaun bernama @thisoldmortuary.
Dalam satu daripada video yang dimuat naik, mereka menemui longkang pada lantai yang membawa kepada pembetung yang dilengkapi cangkuk.
Lebih menyeramkan, siling bilik itu mempunyai cangkuk yang digunakan untuk menggantung mayat untuk diawet.
Pengguna TikTok yang menonton siri video menyeramkan itu kemudiannya memberikan pendapat di ruangan komen.
“Saya berharap ia tidak menyebabkan anda melihat aktiviti paranormal,” komen seorang netizen.
“Saya tidak sanggup tinggal di sana, saya akan terlalu takut,” tulis seorang netizen lain.
Pasangan suami isteri tersebut membeli kediaman menyeramkan itu dan hanya mengetahui bahawa bangunan itu merupakan bekas rumah mayat beberapa hari sebelum melengkapkan urusan pembelian. – AGENSI