BALING – Seorang suri rumah dari Kampung Parit Panjang di sini tabah menghadapi ujian dalam keadaan serba kekurangan apabila perlu menguruskan suaminya yang lumpuh akibat strok sejak dua tahun lalu.
Nurul Atikah Abdullah, 44, berkata, suaminya, Zulkifli Mohd Daud, 54, kini hanya mampu terlantar kerana penyakit tersebut selain kerap mengalami muntah yang teruk.
Katanya, dia bersama suami serta lapan anak berusia antara 10 hingga 25 tahun ketia ini menumpang di rumah ibunya.
“Sebelum ini saya dan suami berniaga ikan di merata tempat sebelum suami jatuh sakit apabila mengalami kebas di bahagian kiri badan serta kerap muntah sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
“Sejak kejadian itu, suami hanya terlantar di atas katil kerana bahagian kiri badannya tidak boleh bergerak. Dia juga tidak boleh makan nasi dan makanan lain kecuali susu kerana akan muntah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Nurul Atikah, suaminya kini hanya bergantung kepada minuman susu untuk mengisi perut dengan perbelanjaan lebih RM400 sebulan.
“Ia tidak termasuk perbelanjaan lain seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan kos ke Hospital Daerah Baling dan HSAH yang melebihi RM1,000 sebulan,” ujarnya.
Nurul Atikah memberitahu, mereka menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 dan bantuan zakat RM300 sebulan, namun semuanya digunakan untuk keperluan suami.
“Kami juga sudah puas berusaha pelbagai cara untuk berubat bagi memulihkan penyakit suami tetapi keadaannya tetap tidak berubah,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, dia ada menerima sebuah rumah tiga bilik di tanah wakaf, namun masih belum boleh diduduki kerana perlu menambah beberapa bahagian terutamanya di bahagian hadapan untuk menghalang tempias air hujan.
“Keadaan bilik air juga perlu disesuaikan dengan keadaan suami yang terlantar selain memerlukan tangki air tambahan sebagai persediaan ketika bekalan air terputus,” katanya.
Tambahnya, dia memerlukan kos sebanyak RM20,000 untuk membina tambahan struktur rumah dan membeli peralatan lain bagi memudahkan penjagaan suaminya.
Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Nurul Atikah di talian 017-235 1946. -K! ONLINE