KLANG – Satu sindiket penyeludupan arak berjaya dilumpuhkan dengan merampas 627,510 liter minuman keras berjumlah RM22.2 juta dalam tiga serbuan berasingan di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) baru-baru ini.
Dalam serbuan bermula 21 September hingga 8 November itu turut menahan seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai dalang sindiket tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, kesemua minuman keras terbabit diimport dari Timur Tengah dan Belgium serta dipercayai dijual untuk pasaran tempatan.
Katanya, kesemua serbuan melibatkan tiga buah kontena dan dua buah gudang termasuk milik syarikat tempatan.
“Pihak ejen didapati mengemukakan permit import yang tidak sepadan dengan kelulusan semasa pengikraran.
“Dalang itu berjaya ditangkap dalam serbuan ketiga dengan siasatan lanjut masih dijalankan pihak kami,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau menegaskan, kes disiasat Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 dan Akta Zon Bebas 1990. -K!ONLINE