MOHAMAD FAIZAL HASHIM
BIARPUN keputusan dua aksi saingan Liga Super musim ini menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjinakkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), pengendalinya, Benjamin Mora enggan keputusan itu membuatkan mereka mengambil mudah pertembungan suku akhir Piala Malaysia malam ini.
Menurutnya, para pemainnya perlu sentiasa berwaspada dan mencari peluang untuk meraih kelebihan ketika aksi pertama bakal berlangsung di laman lawan, Stadium Darul Aman sebelum aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim.
Katanya, prestasi terbaik yang ditunjukkan pemain ketika memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan akan digunakan untuk menaikkan semangat pasukan meneruskan momentum kemenangan.
“Menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia adalah hasil usaha kerja keras pemain yang dahagakan kemenangan. Banyak juga eksperimen taktikal dilakukan membuahkan hasil.
“Namun, situasi sedikit berbeza apabila kita memasuki peringkat kalah mati lebih-lebih berdepan lawan yang sukar. JDT tak boleh tersalah langkah dan kena bermain bermati-matian.
“Kedah bukanlah lawan yang senang kerana mereka adalah pasukan teratur dan dibimbing jurulatih berkebolehan. Apa-apa pun, kami akan bermain dengan cara kami dan memastikan langkah tidak terhenti di suku akhir,” katanya.
Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Mora mengambil keputusan untuk merehatkan beberapa pemain utama seperti Bergson Da Silva, Gonzalo Cabrera, Shane Lowry dan Farizal Marlias sebagai persediaan menghadapi aksi menentang Kedah.
Katanya, peluang itu juga antara lain memberi ruang kepada pasukan dengan membuat penggiliran pemain dengan menurunkan pemain Guilherme De Paula dan Syafiq Ahmad mendapatkan minit perlawanan.
“Merehatkan pemain utama adalah tindakan tepat kerana bukan mudah untuk menang di Alor Setar. Ia pastinya menjadi 90 minit yang panjang.
“Kami sangat menghormati lawan, namun itu bukan bermakna kami akan turun tanpa berikan tentangan. Ini adalah langkah yang perlu diambil untuk mara ke pusingan seterusnya hinggalah ke pentas final,” ujarnya.