SEGALA teka-teki akhirnya terjawab apabila pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah sah menyertai pasukan MIE Racing Honda Team pada Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) tahun depan.
Hafizh sebelum ini membuat keputusan mengejut apabila angkat kaki daripada kancah Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia sebaik musim 2021 berakhir.
Bagaimanapun, karier Hafizh tidak terhenti apabila pasukan MIE Racing Honda Team yang juga pasukan satelit HRC Factory sah mengikat kontrak bersama pelumba negara itu.
Lebih menarik, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia pertama beraksi dalam kelas utama WSBK dan bakal memacu jentera CBR1000RR-R FIREBLADE bersama rakan sepasukannya dari Argentina, Leandro Mercado.
“Kami telah mengikuti perkembangan kerjaya Hafizh sejak dia beraksi atas tiket wildcard pertamanya dalam Kejohanan Dunia Moto2 dengan memacu jentera Moriwaki (Malaysia 2011) ketika berusia 16 tahun.
“Hafizh pelumba sangat berbakat dan berdaya saing. Kami yakin kehadiran Hafizh akan memberi nilai tambah yang berharga kepada pasukan kami dan Kejohanan Dunia Superbike,” kata Prinsipal pasukan, Midori Moriwaki semalam.
Sementara itu, Hafizh Syahrin mengucapkan terima kasih kepada pasukan MIE Racing atas kepercayaan pasukan tersebut terhadapnya.
“Terima kasih terutama Midori Moriwaki dan Honda atas kepercayaan yang mereka berikan kepada saya. Saya yakin kita akan dapat bekerjasama dengan baik dan semoga membuahkan hasil yang baik. Saya akan melakukan yang terbaik seperti biasa.
“Sudah pasti ini akan menjadi cabaran baharu dan saya bersemangat untuk menghadapinya. Apapun, terima kasih kepada semua penaja, keluarga saya, rakan-rakan dan peminat juga atas sokongan berterusan mereka. Saya tahu semua orang teruja seperti saya. Terima kasih semua,” kata Hafizh.