fbpx

Pergelutan mental Karl Shafek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KARL SHAFEK

SUSUK selebriti lelaki ini pernah laris, bukan sahaja sebagai pelakon, bahkan juga pengacara.

Ketika tu, berbekalkan wajah ‘baby face’ dan keanak-anakan, pemilik nama pentas Karl Shafek mempunyai pesona tersendiri sebagai selebriti lelaki yang dikenali ramai.

Bagaimanapun, kelibat Karl tiba-tiba lenyap daripada radar industri seni. Entah kenapa dan ke mana menghilang, perubahan pemilik nama lengkap Khairul­ Shafek Ibrahim itu barangkali telah menimbulkan suasana keliru para pengikutnya.

Tiada khabar berita daripada Karl, apatah lagi melihat penampilannya sebagai pengacara di kaca televisyen.

Bertahun dalam dunia sendiri, tiba-tiba timbul cerita mengatakan keadaannya tidak lagi seperti dahulu.

Menerusi satu pendedahan yang sekitar Januari tahun lalu, Karl membuka mulut bahawa dia sebenarnya berdepan masalah kemurungan sehingga mengganggu fokus terhadap kerjaya.

BEKAS pengacara Aroma Tradisi ini meminta masyarakat tidak memandang serong atau tersalah anggap terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Nyaris maut

Karl menyedari perubahan pada dirinya sejak pertengahan 2019 apabila sering sukar untuk tidur dan mengalami sesak nafas.

Keadaan bertambah buruk apabila dia turut didatangi bayangan atau perkara-perkara aneh yang sebenarnya tidak berlaku.

“Saya memang ada masalah migrain, tetapi tidak pernah pula berdepan serangan setiap hari selama sebulan lebih. Keadaan makin teruk apabila tanpa sedar, saya mula nampak benda yang bukan-bukan,” kata Karl.

Selepas lebih dua tahun berlalu, Karl yang ditemui ketika pertunjukan fesyen jenama pakaian, Neonate di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) baru-baru ini kelihatan lebih bersemangat, malah bentuk badannya juga mengalami perubahan apabila lebih berisi.

Kata Karl, dia kini semakin sihat walaupun masih meneruskan rawatan dan perlu mengambil ubat-ubatan.

“Alhamdulillah tahap kesihatan mental saya semakin baik. Bagaimanapun saya masih lagi dalam proses rawatan. Cuma sekarang saya tidak lagi banyak bergelut (dengan masalah mental) seperti sebelum ini.

“Kalau ikutkan saya semakin baik walaupun masih perlu makan ubat. Sekarang pun tidak ada lagi kejadian-kejadian seperti yang pernah saya lakukan sebelum ini,” jelasnya.

Ketika diasak contoh kelakuan yang pernah dia lakukan sebelum ini, Karl tanpa berselindung memberitahu, dia pernah melakukan beberapa perkara yang hampir meragut nyawa sendiri.

Kata pelakon yang pernah membintangi filem Zaiton: Ceritaku itu, kejadian ‘buruk’ tersebut berlaku ketika sedang bergelut dengan masalah depresi yang menghantui dirinya.

“Saya bukanlah kata saya mahu bunuh diri, tetapi ketika itu saya seperti mahu mengakhiri rasa sakit.

“Sehinggakan, saya memandu kereta tanpa sedar (secara berbahaya) dan menyimbah petrol pada badan.

“Tetapi, pada waktu itu, tiada sesiapa tahu melainkan keluarga dan teman rapat.

“Sehinggalah doktor yang merawat saya memberikan lampu hijau, baru saya berani bercerita dengan orang ramai,” kongsinya.

SELEPAS lebih dua tahun bergelut dengan masalah kesihatan mental, Karl berkata, keadaannya kini semakin pulih walaupun masih meneruskan sesi rawatan dan mengambil ubat-ubatan. – SEERAMU dan IRFANRAHIMAN

Bergelut

Selama lebih dua tahun mengambil ubat-ubatan, Karl mengakui sebenarnya perkara tersebut bukan mudah untuk dilalui.

Kata lelaki yang pernah bergelar pramugara di syarikat penerbangan tempatan itu, dia perlu bergelut dengan diri sendiri gara-gara kesan ubat-ubatan yang diambilnya itu.

“Ubat-ubatan yang saya makan itu membuatkan saya jadi ‘slow’ (mengganggu pergerakan dan pemikiran). Jadi kalau nak jadi kreatif dan keluarkan sesuatu idea saya jadi lambat.

“Saya juga susah nak buat keputusan. Perkara itu memberi cabaran kepada saya untuk bekerja lebih keras lagi (dua kali ganda) berbanding apa yang saya lakukan sebelum,” kata Karl.

Menyentuh apa yang dialaminya itu mungkin disebabkan perbuatan sihir, Karl seakan-akan sukar untuk mengiyakan perkara tersebut kerana lebih yakin dengan kuasa Allah SWT.

SAAT bergelut dengan diri sendiri kesan pengambilan ubat-ubatan, Karl mengakui tidak mudah. Dia menjadi sukar membuat keputusan dan susah untuk berfikir secara kreatif.

Sihir?

Kata Karl, dia tidak pernah anggap sakit yang dialami disebabkan buatan orang walaupun ada sesetengah tempat (rawatan tradisional) mengatakan apa yang dialaminya adalah disebabkan perbuatan sihir.

“Saya ada dibawa berubat secara tradisional ke beberapa buah tempat oleh ibu bapa dan diberitahu telah disihir.

“Tapi kalau boleh saya tak mahu terlalu percaya dengan benda itu (sihir) sebab kita ada Allah. Jadi kita serahkan kepada Dia, biar Dia yang uruskan,” jelasnya.

Menyentuh sedikit perkembangan kerjayanya, ujar Karl, dia ada menerima tawaran untuk menjayakan sebuah program televisyen, namun terpaksa ditolak kerana mahu memberikan tumpuan pada acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur atau KLFW 2021.

“Alhamdulillah, tawaran masih ada, namun terpaksa ditolak buat sementara waktu. Tapi insya-Allah sekitar Disember nanti saya akan melancarkan sebuah kafe sendiri di Kelana Jaya.

“Yang lain-lain tidak ada apa yang berubah. Kehidupan sekarang lebih gembira dan bahagia bersama kucing-kucing saya,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI