KOTA BHARU – Seorang kontraktor dan isteri berdepan detik cemas apabila dikurung selepas banglo mereka di Kampung Peringat di sini dipecah masuk penjenayah semalam.
Kejadian disedari oleh Mohamed Deraman, 65, dan isterinya, Karimah Kari, 45, pada pukul 6.30 pagi semasa bangun tidur.
Menurut Mohamed, isterinya menyedari dua buah telefon dan beg tangan di dalam bilik hilang sebelum mendapati sebuah trak pikap jenis Ford Ranger miliknya juga lesap.
“Penjenayah membawa lari kunci rumah yang berada di ruang bawah sehingga menyebabkan saya dan isteri terkurung.
“Suspek yang mengumpil tingkap belakang turut melarikan wang tunai RM2,000 serta barangan kemas bernilai RM8,000,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurut Mohamed, dia terpaksa meminta bantuan rakannya untuk memotong mangga yang dipasang oleh penjenayah pada pintu pagar.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM70,000 termasuk trak pikap yang dibelinya pada harga RM60,000 beberapa tahun lalu. -K! ONLINE