SEPANG – Pemandu van yang terbabit merempuh kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sini tengah hari semalam dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad ketika dihubungi hari ini.
Md. Noor berkata, pemandu van wanita berusia 31 tahun itu terlebih dahulu ditahan polis semalam untuk diambil keterangan.
“Pemandu van berkenaan telah diambil keterangan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian itu,” katanya.
Berita berkaitan: Langgar mati budak sekolah, pemandu van ditahan
Katanya, siasatan juga mendapati, pemandu van itu mempunyai lesen memandu yang sah dan van itu turut dilengkapi cukai jalan.
Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Nur Alisha Safiya Mohd Azlin maut selepas dirempuh van dinaikinya dalam kejadian di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini.
Siasatan mendapati mangsa dikatakan turun dari van berkenaan dan berjalan di hadapan van sebelum dirempuh. – K! ONLINE