PETALING JAYA – Hampir dua bulan selepas selamat dilahirkan, pelakon Izreen Azminda mendedahkan wajah bayi lelakinya, Ali Idrees buat tatapan umum.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya semalamm, Izreen berkongsi berbeberapa keping foto yang memaparkan puteranya itu sedang tidur lena sambil tersenyum.
“Salam Jumaat dari saya. Ali Idrees Muhammad Radzi (penangan Saffron + Nescafe (ingatkan gulap (gelap) gelita),” tulisnya sebagai kapsyen.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis menitipkan pujian dan doa agar bayinya itu terus sihat serta membesar menjadi seorang anak yang soleh.
“Comelnya awak. Semoga dikurniakan kesihatan, kebahagiaan, ketenangan serta rezeki untuk awak ya Ali.
“Kacaknya. Muka lembut dan tenang sahaja. Mesti masa ibu awak mengandung, dia kerap amalkan surah Yusuf kan,” komen netizen.
Terdahulu, Ali Idrees yang dilahirkan menerusi pembedahan pada 21 September lalu merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup bersama pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau dikenali sebagai Ude yang dikahwini pada 8 Ogos 2017.
Hasil perkongsian bersama Ude, mereka sebelum itu dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim yang kini berusia dua tahun.
Pelakon kelahiran Perlis itu turut memiliki seorang anak lelaki sulung, Muhammad Adrian Umar, 8, menerusi perkahwinan pertamanya dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza Baharudin. – K! ONLINE