fbpx

Britney akhirnya bebas selepas 13 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Brtitney.

PETALING JAYA – Selepas 13 tahun kehidupannya dikongkong, penyanyi sensasi Britney Spears akhirnya bebas apabila Mahkamah Los Angeles, Amerika Syarikat menamatkan hak penjagaan bapanya Jamie Spears.

Britney, 39, meluahkan kegembiraanya menerusi satu hantaran video dalam Instagram sebentar tadi.

Dalam video tersebut, kelihatan ratusan peminat memberi sokongan terhadap penyanyi lagu Baby One More Time itu dengan berkumpul di luar Mahkamah Los Angeles dengan membawa sepanduk ‘Free Britney’.

Malah, peminat turut meraikan kebebasannya sebaik sahaja keputusan tersebut diumumkan dengan menyanyikan lagu hit Britney iaitu Stronger.

“Saya sayangkan peminat saya. Saya rasa saya mahu menangis sepanjang hari. Hari yang terbaik, terima kasih Tuhan,” tulis Britney beserta tanda pagar #FreedBritney.

Hakim Brenda Penny mengarahkan hak penjagaan (conservator) yang dipegang bapanya sejak 2008 ditamatkan dan berkuatkuasa serta-merta.

“Berkuatkuasa hari ini, hak jagaan terhadap Britney Jean Spears dan aset miliknya dibatalkan,” kata Hakim Brenda Penny pada Jumaat (waktu tempatan).

Tambahnya, individu yang dilantik sebagai penjaga ketika ini boleh meneruskan khidmatnya bagi menyelesaikan segala isu kewangan berkaitan kes tersebut.

Terdahulu, Britney mengejutkan dunia dengan pengakuan kepada Mahkamah Los Angeles, Amerika Syarikat pada Jun lalu, apabila mengatakan dirinya mengalami kemurungan teruk kerana kehidupannya dikawal seperti hamba oleh bapanya sendiri.

Bapanya, Jamie Spears diberi hak penjagaan oleh mahkamah untuk menguruskan kehidupan dan aset penyanyi itu yang dianggarkan menilai RM250 juta sejak 13 tahun lalu selepas Britney disahkan mempunyai masalah mental.

Dedah Britney, bapa dan pihak pengurusannya menghalang rancangannya dan Asghari untuk berkahwin serta memiliki anak apabila memaksanya memasang alat pencegahan kehamilan.

Pengakuan Britney tersebut mencetuskan pergerakan #FreeBritney yang digunakan di pelbagai platform media sosial oleh penyokong dan peminatnya di seluruh dunia.

Sementara itu, tunang penyanyi itu, Asghari,27, menyambut kebebasan Britney dengan memuat naik satu hantaran ringkas di Instagramnya.

“Sejarah tercipta hari ini. Britney sudah bebas!,” tulisnya ringkas sebaik sahaja keputusan diumumkan mahkamah.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI